Syaikh Rabi' bin Hadi
Dakwah merupakan salah satu kewajiban bagi mereka yang berkemampuan dari kalangan mulim dan muslimah. Dengan dakwah, Islam terus ditegakkan dan berdiri kukuh dalam masyarakat. Dakwah di jalan Allah dengan prinsip-prinsip yang benar adalah merupakan sebesar-besar bentuk ketaatan kepada Allah Ta'ala, sehingga Allah sendiri menyebutkan bahawa sebaik-baik perkataan seorang hamba adalah yang mengajak kepada jalan Allah.
Cuma sayangnya, ramai di kalangan para da'i (pendakwah) yang sering mengambil sikap semberono dalam dakwah. Berapa ramai di antara mereka yang berdakwah tanpa bekalan ilmu yang benar. Tidak kurang juga di antara mereka yang hanya memanipulasikan nama dakwah untuk kepentingan diri dan kelompok mereka sahaja.
Mereka meninggalkan dakwah di atas manhaj Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Sehingga akhirnya mereka terjerumus ke dalam berbagai bentuk penyimpangan. Akibatnya, mereka bukan berdakwah, tetapi menyesatkan diri dan masyarakat
Maka, Syaikh Dr. Rabe' B. Hadi pun menyusun sebuah buku berkaitan metode dan prinsip-prinsip dalam berdakwah. Beliau menjelaskan bagaimana prinsip yang benar dalam berdakwah. Apakah kaedah yang ditunjukkan oleh para Nabi dalam menyampaikan kebenaran. apakah prioriti dan keutamaan yang wajib disampaikan dalam dakwah. Sekaligus beliau juga membantah sebahagian bentuk pemikiran atau fikrah-fikrah yang menyimpang dari jalan yang benar yang menggunakan nama dakwah.
Di antara isi kandungan dan tajuk perbahasan utama buku ini adalah berkaitan rukun-rukun atau syarat-syarat dalam berdakwah, anugerah akal dan fitrah, manusia dimuliakan dengan diutusnya Rasul, keutamaan tauhid, contoh-contoh dakwah para nabi, Dakwah Nabi Musa dan Kezaliman Fir'aun, Siksaan para sahabat dalam menegakkan tauhid, pandangan para ulama terhadap imamah (kepimpinan dalam politik), dan seterusnya...