[Politik Dunia, Pertolongan Allah dan Bangsa yang Tidak Diperlukan ]
Dalam hadith dari Abu Hurairah ra dalam Shahih al-Bukhari, Nabi SAW memperihalkan manusia terbaik itu seperti logam.
Sebaliknya dalam hadith dari Tsauban dalam Shahih Abu Daud, Nabi SAW menyampaikan keadaan masa depan umatnya yang akan diperlakukan dengan hina oleh ramai musuh dan Baginda SAW menyebut umatnya pada masa tersebut bagai BUIH di lautan. Dan bukanlah perkataan Rasul itu mainan lisan manusia kebanyakan, bahkan seperti yang diverifikasikan oleh al-Khaliq dalam surah an-Najm;
{وَالنَّجْمِإِذَاهَوَى(1) مَاضَلَّصَاحِبُكُمْوَمَاغَوَى(2) وَمَايَنْطِقُعَنِالْهَوَى(3) إِنْهُوَإِلاوَحْيٌيُوحَى(4) }
Demi bintang ketika terbenam, kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru, dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Qur'an) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
(An-Najm: 1-4)
Secara logik akal tak ada manusia yang akan ke kedai hardware atau ke e-commerce untuk membeli BUIH tapi manusia secara umumnya menjadikan logam sebagai aset jika ianya emas, menjadikannya sebagai rangka pencakar langit jika ianya ferum besi keluli, menjadikannya matawang jika perak dan gangsa.
Manusia tidak ada hajat, urusan dan minat kepada buih, tapi pernahkah kita semua terfikir dan terpaku sejenak kenapa Nabi SAW mengatakan kepada para sahabah bahawa keadaan umatnya saat tersebut hanyalah sekadar buih di lautan.
Dan anda melihat realiti hari ini darah seorang Yahudi yang hanya tidak sampai 16 juta ( 14,707,400 as of 2019, https://www.jewishvirtuallibrary.org/jewish-population-of-the-world) di seluruh dunia lebih berharga daripada sebuah wilayah tempat tinggal umat Islam ataupun mana-mana telaga minyak di negara Arab. Hampir semua negara dunia yang maju secara politik berdiri dibelakang mereka seolah-olah adanya wala’ dan baiah tahap tertinggi antara mereka.
Tahukah anda dalam politik antarabangsa, hubungan bilateral antarabangsa terbentuk atas faktor keselamatan dan kepentingan. Jika sebuah negara sedang dalam proses memilih negara sekutunya, adakah negara dan bangsa itu akan mengambil sebuah negara bangsa yang lemah, tidak produktif dan ketinggalan sebagai sekutu rapat atau apakah mereka akan pergi berjabat tangan secara erat dengan sebuah negara lagi yang terkedepan dalam pendidikan, ekonomi dan teknologi?
Nampakkah kita semua keadaan kita yang dhaif ini? Kita tidak dihormati masyarakat dunia secara utuh kerana kita tidak diperlukan untuk survival mereka. Keberadaan kita hanya sebagai pilihan bukan sebagai keperluan dan kemestian politik.
Bukankah kita sendiri yang tidak mahu memahami hikmah penciptaan manusia secara sebenar-benarnya sehingga al-Wahn itu menguasai kita? Kita mengikat doa dan munajat kita kepada Allah hanya untuk keinginan, hajat dan kepentingan kita, bukan untuk kembali kepada Allah sebagai hamba sejati. Dan disinilah awal mula kesilapan kita dalam memahami Ketuhanan yang mutlak dan hakiki.
Bolehkah anda bayangkan situasi masa depan yang bagi kita tidak ada pertolongan Allah kerana bodoh dan lekanya kita tentang urusan mengenal Allah dan bagi mereka semua bendera bangsa-bangsa maju berada di belakang mereka? Dan inilah konsekuensi daripada terus menerus hidup dalam “KEAKUAN” dan mengambil sikap pekak, bisu dan bebal apabila disampaikan kepada kita bahawasanya Allah dan Rasul mempunyai hak ke atas kita. Tapinya “AKU” diletakkan lebih tinggi dari kedudukan Allah dalam hati, maka kata Allah; “kamu tunggu saja keputusanKu” (9:24).
Maka inilah kehinaan bagi kita sesuai dengan keadaan kita yang tidak mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Maka di sini wajarlah untuk hati kita beristighfar seperti istighfarnya para nabi dan kekasih Allah dengan sesungguh-sungguhnya supaya kita semua diterima kembali dan diturunkan pertolongan dariNya persis ketika mana Rasul dan para sahabatnya diturunkan ketenangan dan pertolongan dariNya. Kita hanya adalah Allah disini dan di akhirat dan kepadaNya sebaik-baik tempat hati seorang manusia kembali.
اَللَّهُمَّاغْفِرْلِلْمُسْلِمِيْنَوَالْمُسْلِمَاتِ،وَالْمُؤْمِنِيْنَوَالْمُؤْمِنَاتِاْلأَحْيَاءِمِنْهُمْوَاْلأَمْوَاتِ،إِنَّكَسَمِيْعٌقَرِيْبٌمُجِيْبُالدّعَوَاتِ