[ IR 4.0, Buih dan Yahudi ]
Kita wajar mengadopsi keterbukaan dalam berbahas tentang self-criticism dalam menjalankan perbaikan dalaman umat Islam.
Kita bergelut dengan pelbagai masalah samada ianya politik, samada ianya ekonomi dan lebih dari itu kita memang tertinggal jauh di belakang bangsa lain dalam bidang teknologi dan inovasi.
Manakala dihadapan kita terbentang luas kitab suci al-Quran yang telah terbukti mengubah karakter dan paradigma bangsa Arab pada satu ketika.
Dan bangsa lain termasuk para akademis Yahudi juga mempelajari, mengkaji dan ada yang meyakini mukjizat al-Quran. Mereka menghargai al-Quran sebagai salah sebuah SCRIPTURE selepas Taurat. Hanya saja mereka mempunyai krisis hati yang terhijab dengan masalah penerimaan mereka terhadap realiti geneologi nabi terakhir yang bukan dari susur galur keturunan Ya’qub. Dan Allah menguji mereka yang telah diberikan al-Kitab dan masih menyeru mereka untuk menerima kebenaran dengan memanggil mereka “Wahai Ahlul Kitab, Wahai Bani Israel, mengingatkan mereka tentang peristiwa Exodus di zaman Musa as dan banyak lagi seruan untuk menerima nabi dan kitab terakhir”.
Bahkan praktik kodifikasi Taurat dan Halakhic Law (Rashi & Rambam abad 10-11M) hanya dapat dibuat selepas melihat para ulama’ kita mengkodifikasikan al-Quran dan menghasilkan kamus bahasa Arab, I’rab al-Quran, penyusunan ilmu hadith, dan banyak lagi. Dan di era abad ke 8-10 Masihi inilah terbentuknya hubungan erat antara para akademis Islam dan Yahudi yang diistilahkan mereka sebagai “Judeo-Arabic tradition”. Begitulah mereka mengiktiraf sumbangan Islam dan peradabannya terhadap sejarah Judaism.
Manakala apabila kita mengkaji al-Quran, bukankah pemahaman kita akan bergantung kpd sejauh mana kekuatan ilmu alat dan ilmu linguistik samada ianya nahu, shorof, balaghah, i’rab, usul tafsir, ulumul Quran, Asbabun Nuzul dan ilmu hadith yang lain dalam menafsirkan kehendak dan perintah Allah terhadap kita dalam al-Quran.
Dan ini semua baru pada lapisan pertama iaitu meninterpretasikan teks kitab untuk mendapatkan pemahaman secara teknikal mengikut kaedah bahasa Arab yang dapat membawa kita memahamkan struktur ayat & perkataan al-Quran dalam bahasa teks asal secara sangat jelas.
Dan pada lapisan seterusnya adalah penerimaan kita secara utuh dan jujur terhadap apa sahaja yang tertulis dalam al-Quran. Pada sebahagian ayat Allah memberi semangat, motivasi bahkan jaminan pertolongan kepada manusia yang beriman denganNya. Pada sebahagian yang lain Allah juga menerangkan hakikat dan maklumat mengenai para musuh. Dan tidak keterlaluan juga apabila disebutkan disini bahawa ada ayat yang memberi teguran, peringatan dan ancaman kepada kita. Bahkan Nabi saw sendiri dalam riwayat Shahih Abu Daud dari Tsauban ra memberi mesej peringatan bahawa umat ini pada suatu masa akan melalui masa-masa kehinaan dan keadaan mereka pada masa itu didefiniskan oleh Baginda SAW sebagai “BUIH DI LAUTAN” dan kata-kata ini mengejutkan ramai para sahabat sehingga mereka terfikir ketika itu umat Islam dalam keadaan minoriti ataupun sedikit. Dan dan dalam hadith yang sama dinyatakan Allah akan mencabut rasa takut para musuh terhadap kalian yakni umat Islam.
Dan perlu disedari disebalik keberadaan umat Islam sebagai populasi kedua terbesar dunia pada tahun 2020 lebih dari 1.9 billion dan 1.5 billion adalah pengikut mazhab utama Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Di sini timbul soalan dan persoalan yang terbit dari ketidakseimbangan yang wujud dan ianya bukan dibuat-buat tetapi sebuah realiti yang bersifat pahit untuk diterima akal sihat.
Antara persoalan:
1. Apa yang kita faham dan telan ke dalam hati daripada kalimat pintu masuk Islam iaitu Syahadatain.
2. Adakah pendidikan kita perlu distrukturkan semula dan berdasarkan apa ianya akan disusun semula.
3. Apakah bentuk sistem sokongan dari ummah sendiri (formal & informal) dan bukan dari mana-mana kerajaan dunia dalam memfasilitasi pembangunan pendidikan, literasi, ekonomi dan sains & tech.
4. Kenapa bangsa lain yang juga dikalahkan dalam perang dunia 1 & 2 mampu bangkit semula (German, Jepun).
5. Apakah badan dunia seperti UN, ICJ, IMF benar-benar 100% dikuasai oleh hidden hand seperti yang diperkatakan oleh golongan pro teori konspirasi sehingga suatu apa pun tak mampu dibuat dalam dunia Islam untuk maju mungkin untuk satu dua bidang di dunia atau kita mewarisi suatu sikap yang tidak baik dari sudut psikologi kemanusiaan dan juga dari kacamata Islam sendiri iaitu “PUTUS ASA”.
Bukankah semua para nabi dan rasul diberikan pertolongan Allah ketika sampai saatnya dan tempatnya. Sekalipun dari sudut lahiriah mereka kelihatan sedikit dan lemah, bukankah Allah berkali-kali memberi mesej kepada kita melalui kalimatNya kepada Musa as, “Aku bersama kamu berdua Musa dan Harun mendengarkan kamu dan memerhatikan kamu.
Meninggalkan proses pembelajaran itulah sebahagian dari putus asa. Ketika bangsa lain di dunia belajar membangunkan apasaja konsep 4th industrial revolution samada ianya Big Data, Machine Learning, Automation, Deep Learning dan Data Science berapa buah negara umat Islam yang menyertai liga perlumbaan persaingan yang ada?
Tahukah anda ketika Revolusi Industri pertama bermula di England pada hujung abad ke-18 kemudian berlanjut dengan maraknya di dunia Barat, ulama dalam wilayah Daulah Utsmaniyyah masih berbahas tentang hukum menggunakan mesin cetak. Tahukah anda pada masa IR 4.0 akan berlaku persaingan antara manusia dan robot dalam erti kata banyak sektor pekerjaan akan sendirinya lenyap. Dan apakah yang kita persiapkan dengan jujur untuk kekal relevan dan mampu bersaing pada era tersebut?
Dan bukankah dalam surah al-Hasyr Allah memberi perintah untuk membuat persiapan dan perancangan untuk hari esok?
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اتَّقُوا اللّٰهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۚ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ خَبِيْرٌ ۢبِمَا تَعْمَلُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Mahateliti terhadap apa yang kamu kerjakan.
(al-Hasyr, 59: 18)